Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Seramai 12 warga tempatan termasuk empat wanita ditahan reman selama 21 hari bermula hari ini di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 untuk siasatan kes sindiket Macau Scam yang membabitkan kerugian RM11 juta.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Hakim N Priscilla Hemamalini di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas menerima permohonan polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1) POCA.

Semua suspek berusia 20 hingga 26 tahun itu antara 22 individu yang ditahan di Kuala Lumpur pada 30 Oktober lalu, akan direman sehingga 23 Disember.

EMPAT wanita antara 12 individu yang direman mengikut POCA kerana disyaki terbabit dengan sindiket Macau Scam. FOTO Sharul Hafiz Zam.
EMPAT wanita antara 12 individu yang direman mengikut POCA kerana disyaki terbabit dengan sindiket Macau Scam. FOTO Sharul Hafiz Zam.

Media sebelum ini melaporkan mereka ditahan dalam operasi khas di sebuah kondominium di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng dilaporkan berkata, kumpulan itu yang pertama berjaya ditumpaskan bagi sindiket Macau Scam yang berpangkalan di Malaysia dan menjadikan rakyat tempatan sebagai mangsa.

Serbuan ke atas kondominium yang dijadikan pusat panggilan adalah operasi khas antara Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak dengan JSJK Bukit Aman, hasil risikan selama seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 12:52 PM