SELAM skuba. FOTO HIASAN
SELAM skuba. FOTO HIASAN
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Sabah membenarkan semula aktiviti selam skuba termasuk di zon merah sejajar kelonggaran aktiviti rekreasi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, ia selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk membenarkan semula aktiviti itu.

Bagaimanapun, katanya kebenaran itu terhad kepada penyelam sedia ada di daerah yang ada aktiviti menyelam bagi membolehkan mereka melepaskan keinginan untuk melakukan aktiviti berkenaan.

"Maknanya, penyelam di Kota Kinabalu hanya dibenarkan pergi menyelam di perairan Kota Kinabalu, begitu juga di perairan Semporna, hanya penyelam di daerah itu dibenarkan kerana kita masih tertakluk dengan larangan rentas daerah," katanya pada sidang media Covid-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata, aktiviti menyelam dibenarkan kerana ia dikategorikan sebagai aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal.

"Aktiviti menyelam ini boleh dilaksanakan dengan syarat bot yang membawa penyelam ke lokasi selam tidak melebihi 30 peratus daripada muatan bot bagi memastikan ada penjarakan fizikal.

"Prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi aktiviti menyelam akan dikeluarkan oleh Kementerian

Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah," katanya.

Sementara itu, Sabah mencatat 326 kes baharu positif Covid-19 semalam dengan satu kematian di Lahad Datu, menjadikan kumulatif kes sehingga semalam sebanyak 28,771.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 8:55 AM