GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kota Kinabalu: Garis Panduan Pencegahan Covid-19 sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 adalah kekal dan terpakai selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, garis panduan itu sudah dimaklumkan kepada umum pada 11 September lalu.

Beliau berkata, bagi Zon Merah, kempen rumah ke rumah perlu dikurangkan dan hanya seorang atau dua orang sahaja dibenarkan untuk masuk ke rumah bagi menjalankan kempen dengan syarat mematuhi penjarakan fizikal.

"Aktiviti ceramah hanya dihadkan kepada 30 orang sahaja tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh pihak polis.

"Calon digalakkan memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium atas talian atau melalui saluran media sosial," katanya kepada NSTP, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di hospital tidak dibenarkan keluar mengundi pada PRN Sabah, Sabtu ini.

Beberapa kluster dikesan di pantai timur Sabah menyebabkan kawasan itu dikategorikan Zon Merah.

Keadaan itu juga menyebabkan kegusaran orang ramai untuk keluar mengundi Sabtu ini.

Semalam, proses pengundian awal membabitkan anggota keselamatan dijalankan di seluruh Sabah dengan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


    Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 3:57 PM