GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Angkara berebut parkir dan mabuk, dua cedera dipukul dan ditetak dengan parang dalam pergaduhan sekumpulan lelaki di kawasan Flat Impian Baiduri, Sungai Way di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 11 malam itu, lelaki berusia 34 tahun cedera di badan manakala lelaki berusia 20 tahun cedera parah di betis dan dahi ditetak.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima laporan jam 11.37 malam sebelum anggota polis peronda bergegas ke lokasi.

Menurutnya, berlaku dua kejadian pergaduhan membabitkan antara tujuh hingga 11 lelaki berusia 16 hingga 20 tahun yang berada di bawah pengaruh alkohol.

"Hasil siasatan mendapati kejadian pertama berlaku disebabkan perselisihan faham tempat parkir kereta sehingga berlaku pergaduhan yang menyebabkan seorang cedera.

"Selain itu, cermin dua kereta masing-masing Perodua Bezza dan Myvi turut dipecahkan serta motosikal ditumbangkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, selepas kejadian itu kumpulan terbabit dikatakan tidak puas hati lalu berlaku pergaduhan sekali lagi di lokasi sama pada jam 1.30 pagi.

Beliau berkata, pada masa sama seorang lelaki yang keluar rumah untuk membuang sampah menjadi mangsa apabila ditetak kumpulan berkenaan.

"Setakat ini, polis sudah menahan tujuh lelaki dan sedang giat mengesan empat lagi suspek yang disyaki terbabit kejadian pergaduhan itu.

"Mereka yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman pagi esok," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan 427 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihati keempat-empat suspek menyerah diri di balai polis berdekatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya Inspektor R Sangaran di talian 03-79662176.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 7:01 PM