ANGGOTA bomba bantu memindahkan penduduk. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba bantu memindahkan penduduk. FOTO Ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Seberang Perai selepas banjir kilat melanda beberapa kawasan berikutan hujan lebat sejak petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh, berkata keadaan banjir kilat sudah dijangkakan selepas mendapati taburan hujan begitu tinggi.

"Ekoran itu, beberapa rumah penduduk di Seberang Perai dinaiki air hingga memaksa PPS dibuka sejak malam hingga awal pagi tadi

"Sebanyak tiga PPS dibuka setakat ini membabitkan Pengkalan Jaya di Tasek Gelugor, Dewan Orang Ramai Bukit Teh dan Sekolah Kebangsaan Sri Penanti di Bukit Mertajam.

"Keseluruhannya, 69 mangsa dari 21 keluarga termasuk seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) ditempatkan di tiga PPS berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan, keadaan banjir kilat kini terkawal dan mangsa sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 12:21 PM