GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Kompleks Sukan Hospital Permai menjadi lokasi tambahan bagi menempatkan pesakit Covid-19 selain dua lokasi baharu lain di Johor, susulan peningkatan kes jangkitan dalam fasa gelombang ketiga bermula awal bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata pengurusan dan perawatan klinikal pesakit Covid-19 di lokasi itu termasuk dua yang lain iaitu Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Blok C Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bahru dan enam wad khusus di Hospital Permai Johor, adalah di bawah pengurusan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) secara amnya.

Katanya, Kompleks Sukan Hospital Permai yang beroperasi sejak Isnin lalu, digunakan sebagai lokasi tambahan bagi menempatkan pesakit dengan 75 katil kanvas dari Unit Bencana Lapangan Terbang Senai dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, selain sehingga kini sudah menempatkan 58 pesakit Covid-19 yang dirujuk dari daerah lain.

"PKRC Blok C ILKKM mempunyai kapasiti maksimum 496 katil. Ia mula beroperasi pada 4 Disember lalu dengan 146 katil dan kapasiti sudah dipertingkatkan berdasarkan keperluan semasa.

"Pesakit yang dimasukkan ke pusat ini adalah pesakit Covid-19 yang dipindahkan dari Wad Covid Hospital Permai Johor Bahru dan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang, selain sejak 4 Disember hingga Selasa lalu, seramai 631 pesakit yang dimasukkan ke pusat ini dan 386 orang sudah dibenarkan pulang.

"Selain daripada PKRC ILKKM JB, pesakit Covid-19 tanpa gejala atau dengan gejala ringan juga ditempatkan di enam wad khusus di Hospital Permai Johor Bahru dengan kapasiti terkini sebanyak 244 katil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat 105 kes baharu yang dilaporkan di negeri ini semalam iaitu 61 kes daripada kluster sedia ada, enam kes membabitkan kluster baharu, 22 kes saringan kontak rapat kes dan 15 kes daripada lain-lain saringan serta satu kes import, sekali gus menjadikan kumulatif kes yang dilaporkan adalah sebanyak 2,768 kes.

"Satu kluster baharu dilaporkan semalam iaitu Kluster Cahaya Mahsuri (mukim Tebrau). Kluster ini membabitkan daerah Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pontian yang menjadikan kumulatif kluster aktif di Johor sebanyak 20 kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 11:59 AM