FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Situasi semasa wabak Covid-19 di Johor masih berada pada tahap membimbangkan, dengan kewujudan 123 kluster aktif membabitkan kluster industri, komuniti, institusi, pasar raya dan tahanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, masyarakat negeri ini juga dinasihatkan supaya terus kekal di rumah dan hanya keluar jika mempunyai urusan penting sahaja termasuk membeli barang keperluan atau tujuan perubatan serta vaksinasi.

Katanya, Johor masih berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan pelaksanaan 'total lockdown' seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sejak 1 Jun lalu.

"Terdapat peningkatan kes berlaku di Johor kebelakangan ini, dengan sebanyak 609 kes baharu dilaporkan semalam dan 625 kes pula direkodkan hari ini, iaitu melebihi 500 kes selama tiga hari berturut-turut sejak Khamis lalu, yang mencatatkan 599 kes.

"Sehingga semalam, kumulatif kluster aktif di negeri ini adalah sebanyak 123 kluster di mana daripada jumlah berkenaan, 70 kluster (57 peratus) adalah penularan dalam industri, 18 (14 peratus) di dalam komuniti, 21 (17 peratus) di dalam institusi, 11 (9 peratus) di pasaraya dan tiga (tiga peratus) kluster tahanan.

"Sehingga semalam juga, terdapat dua lokaliti yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Johor, membabitkan Zon Industri Senai dan Indahpura di Kulai, dengan 468 individu disahkan positif selain FELDA Maokil, Muar, dengan 225 individu disahkan positif," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, Hospital Medan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, sudah merawat seramai 191 pesakit Covid-19, sehingga semalam.

"Sejak Hospital Medan HSA dibuka pada 21 Jun lalu, seramai 63 pesakit Covid-19 yang dirawat sudah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah.

"Sehingga semalam, terdapat 63 pesakit Covid-19 masih dirawat di Hospital Medan ini dengan 12 pesakit kategori 1, 22 orang kategori 2, 27 kategori 3 manakala dua orang kategori 4.

"Terdapat empat daripada pesakit ini sedang dirawat di ICU Hospital Medan HSA," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 5:50 PM