HOSPITAL Medan ATM dilengkapkan dengan empat katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 60 katil wad. FOTO Arkib NSTP
HOSPITAL Medan ATM dilengkapkan dengan empat katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 60 katil wad. FOTO Arkib NSTP
Omar Ahmad

Johor Bahru: Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dijangka beroperasi mulai 17 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, hospital berkenaan dilengkapkan dengan empat katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 60 katil wad secara berperingkat dan ditempatkan di perkarangan hadapan bangunan induk HSA.

Katanya, kerja pemasangan aset ATM itu bermula hari ini dan esok.

"Di samping petugas HSA, pihak ATM akan menggerakkan tiga pegawai dan 30 staf teknikal (paramedik) bagi membantu operasi dan memberi perawatan pesakit Covid-19 di hospital medan ini.

"Selain kerjasama ATM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pengoperasian hospital medan ini adalah hasil usaha dan kerjasama pelbagai pihak termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan kerajaan negeri Johor melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

"Tempoh operasi hospital medan ini bergantung kepada situasi pandemik Covid-19 negeri ini terutama daerah Johor Bahru dan daerah berhampiran," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Vidyananthan, berdasarkan statistik kelmarin, seramai 1,247 orang pesakit Covid-19 dirawat di hospital kerajaan negeri Johor termasuk 105 pesakit yang dirawat di ICU termasuk 82 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Manakala, terdapat 24 pesakit Covid-19 di beberapa hospital swasta termasuk dua yang dirawat di ICU dan memerlukan bantuan pernafasan.

"Pertambahan 30 peratus kemasukan pesakit Covid-19 terutama di hospital kerajaan di daerah ini bermula pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

"Ia juga menyumbang kepada peningkatan penggunaan katil khusus Covid-19 secara berterusan di wad dan ICU kepada melebihi 95 peratus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 2:35 PM