AMINUDDIN membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2021 bertemakan ‘Meransang Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ pada Persidangan Ketiga (Belanjawan), Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14. FOTO IHSAN PEJABAT MB
AMINUDDIN membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2021 bertemakan ‘Meransang Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ pada Persidangan Ketiga (Belanjawan), Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14. FOTO IHSAN PEJABAT MB
Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my


Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membentangkan belanjawan defisit sebanyak RM112 juta bagi Belanjawan 2021 membabitkan peruntukan sebanyak RM560 juta.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, anggaran hasil yang akan diperoleh tahun hadapan adalah berjumlah RM448 juta.

"Sudah tiba masanya kerajaan negeri mengembalikan semula simpanan rizab yang ada kepada rakyat dalam bentuk inisiatif kebajikan, bantuan insentif dan program pembangunan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2021 bertemakan 'Merangsang Ekonomi, Memperkasa Rakyat' di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Aminuddin (PH-Sikamat) berkata, kerajaan negeri perlu bersifat realistik dalam menyediakan belanjawan tahun hadapan dengan mengambil kira suasana ekonomi global dan nasional termasuk semua indikator ekonomi domestik dan trajektori hasil.

"Anggaran hasil kerajaan negeri bagi 2021 menunjukkan pengurangan sebanyak RM9 juta ataupun 1.97 peratus berbanding belanjawan tahun ini.

"Penurunan anggaran hasil 2021 adalah berdasarkan unjuran penurunan kutipan premium tanah sebanyak RM11.8 juta dan kehilangan hasil pemberian cukai pelancongan 2020 sebanyak RM2.47 juta daripada Kerajaan Persekutuan," katanya.

Menurutnya, secara keseluruhannya hasil bukan cukai kekal sebagai penyumbang utama hasil negeri iaitu sebanyak RM230.49 juta atau 51 peratus.

"Jumlah ini adalah lebih rendah berbanding 2020 iaitu sebanyak RM9.63 juta atau 4.01 peratus," katanya.

Beliau berkata, hasil cukai dijangka menyumbang sebanyak RM155.6 juta atau 35 peratus dengan peningkatan sebanyak 0.45 juta atau 0.29 peratus.

Menurutnya, kerajaan negeri dijangka memperoleh sebanyak RM61.91 juta atau 14 peratus daripada pelbagai penerimaan bukan hasil seperti bayaran balik pinjaman, pemberian dan caruman Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Aminuddin berkata, Belanjawan 2021 yang berjumlah RM560 juta itu adalah refleksi dan cerminan komitmen kerajaan negeri ketika negara berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan keperluan dan kebajikan rakyat dengan memastikan agenda berkenaan terus diberikan keutamaan dalam setiap perancangan kerajaan negeri.

"Dalam hal ini, kita menyediakan peruntukan sebanyak RM6.6 juta yang merangkumi tujuh inisiatif seperti bantuan peralatan perubatan dan tabung bantuan haemodialisis, tambahan elaun bantuan am, khairat kematian dan Hibah Takaful, food bank dan rumah transit untuk gelandangan," katanya.

Menurutnya, belanjawan itu menyaksikan sebanyak empat strategi akan direalisasikan melalui 53 inisiatif yang merangkumi 22 inisiatif sedia ada dan 31 inisiatif baharu.

"Ia memfokuskan kepada lapan bidang tumpuan iaitu ekonomi rakyat, pendidikan, kebajikan, pemerkasaan komuniti, belia dan wanita, kerohanian dan agama, institusi adat dan pentadbiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 4:37 PM