Omar Ahmad


Johor Bahru: Tujuh pertubuhan, rumah kebajikan dan sekolah pendidikan khas menerima bantuan zakat yang keseluruhan berjumlah RM210,000.

Ia membabitkan rumah perlindungan Pertubuhan Nur Ihsan Cawangan Kempas, Pertubuhan Nur Ihsan Cawangan Tangkak, Warga Tua Bakti Murni Muar, Baitus Solehah Skudai, Pusat Pendidikan Khas Kanak-Kanak Istimewa Islam, Persatuan Orang Pekak Islam Johor dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Princess Elizabeth Johor, masing-masing menerima RM30,000.

Sumbangan berkenaan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor Tosrin Jarvanti dan disaksikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang mencemar duli ke majlis itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) di sini, hari ini.

Di majlis itu, kurniaan sebanyak RM500,000 turut diberikan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bagi menguruskan gelandangan di negeri terbabit.

Tunku Ismail menyaksikan penyerahan replika cek bayaran zakat daripada Johor Corporation kepada Majlis Agama Islam negeri Johor yang diterima oleh Tosrin Jarvathi  pada Majlis Pembayaran Zakat dan Kurniaan Sumbangan di PERSADA Johor di Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Tunku Ismail menyaksikan penyerahan replika cek bayaran zakat daripada Johor Corporation kepada Majlis Agama Islam negeri Johor yang diterima oleh Tosrin Jarvathi pada Majlis Pembayaran Zakat dan Kurniaan Sumbangan di PERSADA Johor di Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Tosrin berkata, kurniaan sumbangan itu adalah terbaru bagi memastikan golongan gelandangan yang termasuk dalam golongan susah dapat dibantu.

"Keputusan Jawatankuasa Zakat dan Fatwa Negeri Johor, golongan gelandangan ditafsirkan sebagai golongan yang susah maka sebab itu diberikan bantuan.

"Sebanyak RM500,000 itu diberikan kepada PBSM bagi pengurusan gelandangan di negeri ini yang dianggarkan berjumlah 200 orang dalam tempoh setahun.

"Sepanjang tahun lalu, MAINJ berjaya mengagihkan sebanyak RM299.7 juta wang zakat iaitu 99.5 peratus daripada keseluruhan pungutan zakat RM399.8 juta," katanya.

Di majlis sama, pemberian zakat perniagaan sebanyak RM5.76 juta diserahkan Johor Corporation kepada MAINJ, manakala Lembaga Tabung Haji menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM9.25 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 6:34 PM