Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: "Walaupun terpaksa pindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), namun bukan masalah untuk menyediakan bahan pembelajaran dan latihan untuk murid," kata ustazah, Khalimatus Sa'adiah Mohamad, 32.

Khalimatus Sa'adiah antara 30 mangsa banjir daripada enam keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kayan, di sini, selepas rumah mereka di Kampung Ulu Kayan dinaiki air setinggi 0.3 meter.

Guru di SK Tapak Semenang, Bagan Datuk itu berkata, hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu menyebabkan keluarganya bersama dua keluarga lain dipindahkan ke surau kampung mereka pada keesokannya.

Menurutnya, ini adalah kali pertama mereka dipindahkan ke PPS sejak banjir besar, lima tahun lalu.

"Hujan lebat menyebabkan air masuk ke rumah setinggi 0.1 meter dan ketika itu saya memang rasa tidak sedap hati sebelum terus mengambil keputusan mengemas barang.

"Benda pertama saya ambil adalah komputer riba, buku dan bahan mengajar supaya dapat terus menyediakan bahan untuk murid biarpun terpaksa berpindah ke surau sebelum kami ditempatkan di PPS, semalam," katanya ketika ditemui, hari ini.

Guru subjek Bahasa Arab, Pendidikan Islam dan Bahasa Melayu itu mengakui tiada sebarang masalah kepadanya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pendidik dengan pergerakan agak terbatas ketika berada di PPS.

KHAMLIMATUS Sa'adiah menyediakan bahan dan latihan untuk muridnya di pusat pemindahan sementara SK Kayan, Sitiawan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
KHAMLIMATUS Sa'adiah menyediakan bahan dan latihan untuk muridnya di pusat pemindahan sementara SK Kayan, Sitiawan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

"Kalau difikirkan selesa memanglah di rumah sendiri lebih selesa, tetapi saya rasa baik saja asalkan capaian Internet baik serta boleh menyediakan bahan dan latihan untuk murid supaya mereka dapat terus belajar.

"Selain latihan dan kuiz secara dalam talian, saya dan guru lain juga menghantar salinan bahan kepada murid setiap minggu kerana ada antara mereka tiada komputer dan telefon pintar sendiri. Jadi tiada alasan duduk di PPS tidak dapat menyediakan latihan untuk murid," katanya.

Khalimatus Sa'adiah berkata, ketika ini air banjir masih belum surut sepenuhnya berikutan kedudukan rumahnya di kawasan rendah.

"Sudah lama kawasan rumah kami tidak banjir sejak hujung 2014 lalu, dan sekarang kembali banjir disebabkan hujan lebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 3:47 PM