Tidak cukup dengan ‘mencuri’ penumpang, pemandu teksi sapu berlagak samseng apabila cuba menikam seorang pemandu limosin yang menegur perbuatannya di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, mangsa yang berusia 33 tahun dan beberapa rakan yang juga pemandu limosin cuba mengusir pemandu teksi sapu yang mengambil penumpang di kawasan itu.

Menurut sumber, mangsa menghampiri seorang pemandu teksi sapu dan menegurnya secara baik, namun dia diherdik suspek itu yang tidak berpuas hati dengan teguran itu.

“Suspek yang berang terus mengeluarkan pisau lipat dan mengacu serta cuba menikam mangsa.

“Dua rakan mangsa kemudian cuba meleraikan pertengkaran itu sebelum anggota polis yang melakukan rondaan menahan suspek terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 7:15 AM