Gambar hiasan
Gambar hiasan
 Lee (kiri) bersama aplikasi Smart AI yang dipasang pada teksi limosin bercirikan keselamatan, termasuk kamera. FOTO Siti Aisyah Sukaimi
Lee (kiri) bersama aplikasi Smart AI yang dipasang pada teksi limosin bercirikan keselamatan, termasuk kamera. FOTO Siti Aisyah Sukaimi
Siti A’isyah Sukaimi


TEKSI limosin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 bakal menggunakan aplikasi e-hailing yang turut melengkapkan kenderaan itu dengan peralatan khas untuk keselamatan menjelang hujung tahun ini.

Menerusi aplikasi dinamakan Smart AI itu, teksi limosin dilengkapi kamera dan butang panik, selain boleh memberi amaran kepada pemandu malah, mampu menghentikan kenderaan jika berlaku sebarang pelanggaran undang-undang.

Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (PETEKMA) Mohd Syahrir Abdul Aziz berkata, projek perintis bagi sistem berkenaan dijayakan bersama syarikat Teguh Tunggal Sdn Bhd untuk 2,100 teksi limosin KLIA dan KLIA 2 serta dibuat secara berperingkat.

Menurutnya, Smart AI mampu memantau sepanjang perjalanan teksi limosin bermula ketika penumpang menaiki kenderaan sehingga ke lokasi yang dituju.

“Jika berlaku sebarang pelanggaran kesalahan sama ada membabitkan pemandu atau penumpang, amaran akan dikeluarkan.

“Selain itu, ia juga mampu mengesan pemandu yang mengalami gejala ‘microsleep’ ketika memandu dan amaran akan dikeluarkan terlebih dahulu.

“Jika tidak diendahkan, kenderaan akan dihentikan ke tempat selamat,” katanya pada sidang media di Sepang, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Teguh Tunggal Sdn Bhd, Lee Jackson.

Terdahulu, satu majlis Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) dimeterai antara PETEKMA dan Teguh Tunggal Sdn Bhd disaksikan oleh Setiausaha Politik Kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Dahlan Maamor.

Dalam pada itu, Mohd Syahrir berkata, amaran yang dikeluarkan menerusi peralatan khas itu adalah dari pusat kawalan di Puchong, Selangor termasuk boleh melaporkan kepada polis dengan segera.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Smart AI bakal dilancarkan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA ‘19) pada Mac ini sekali gus langkah dalam melaksanakan pembaharuan terhadap industri teksi yang tidak lagi bergantung kepada kaedah konvensional semata-mata.

Ditanya sama ada pelaksanaan aplikasi itu akan menaikkan harga tambang, beliau berkata, kadarnya adalah seperti yang ditetapkan oleh kerajaan selama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 4:44 PM