RAKAMAN video yang tular di media sosial. FOTO tular media sosial
RAKAMAN video yang tular di media sosial. FOTO tular media sosial
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang lelaki warga emas ditahan selepas didapati memandu secara melawan arus di Persiaran Tun Teja dekat Alam Impian di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Superintendan Ramsay anak Embol berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira 1 tengah hari itu, lelaki berusia 74 tahun yang memandu Toyota Prius dipercayai menuju ke Jalan Batu 4 dari Plaza Tol Alam Impian.

"Warga emas itu memandu secara melawan arus selepas tersalah masuk laluan bertentangan di bulatan pertama selepas Plaza Tol Alam Impian dan keluar di bulatan kedua di Persiaran Tun Teja.

"Bagaimanapun, tiada kemalangan dilaporkan dan hasil ujian saringan air kencing turut mendapati lelaki itu negatif dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Katanya, saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Mohd Zulkifli Razak di talian 019-4475767.

Terdahulu tular dua video masing-masing berdurasi 35 dan 22 saat menunjukkan sebuah kereta dipandu lelaki itu secara melawan arus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 9:20 PM