EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo (berdiri tengah) menyaksikan kerja-kerja saringan COVID-19 untuk pekerja dan majikan warga asing di tapak pembinaan di Padang Polo di Georgetown. FOTO Danial Saad
EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo (berdiri tengah) menyaksikan kerja-kerja saringan COVID-19 untuk pekerja dan majikan warga asing di tapak pembinaan di Padang Polo di Georgetown. FOTO Danial Saad
Zuhainy Zulkiffli

PEKERJA warga asing dalam sektor pembinaan dan perkilangan di Pulau Pinang diwajibkan membuat ujian saringan Covid-19 bagi mengelakkan tindakan tegas.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan ke tapak pembinaan dan kilang di negeri ini bagi menjalankan pemeriksaan.

Menurutnya, sekiranya mereka gagal mengemukakan bukti ujian saringan, tindakan tegas membabitkan undang-undang akan diambil.

"Namun ujian saringan itu bukan sahaja terhadap pekerja di sektor berkenaan tetapi terbuka kepada lain-lain perniagaan termasuk dalam bidang makanan dan minuman.

"Sehingga kini, seramai 51, 208 pekerja warga asing sudah dikenal pasti di kedua-dua sektor berkenaan di negeri ini," katanya dalam sidang media di Georgetown hari ini.

Jagdeep ditemui ketika mengadakan pemantauan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja warga asing di Padang Polo yang turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk Yew Tung Seang.

Seramai 12,436 pekerja warga asing di negeri itu yang bekerja di 109 tapak pembinaan di bahagian pulau dan 127 di Seberang Perai.

Bagi sektor perkilangan di negeri ini pula mempunyai 36,772 pekerja warga asing.

Sementara itu, Yew berkata, kemudahan pusat ujian saringan Covid-19 di Padang Polo itu dilakukan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melancarkan pergerakan pekerja warga asing berkenaan.

Menurutnya, inisiatif menyediakan kemudahan pusat ujian saringan itu menjadi perintis di negeri terbabit dan kos ujian ditanggung majikan masing-masing.

Katanya, diharap pekerja warga asing yang sudah menjalani ujian saringan dan didapati negatif supaya dapat menjaga pergerakan masing-masing bagi memastikan negeri ini bebas daripada penularan Covid-19.

"Pada hari ini (semalam) seramai 270 pekerja warga asing menjalani ujian saringan dan mereka atau pihak majikan boleh sahaja ke klinik panel dan yang berdekatan bagi menjalani ujian itu.

"Pusat ini akan beroperasi selama sebulan bagi memudahkan pergerakan pekerja warga asing melakukan ujian," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 2:18 PM