ABDUL Karim Talib, 88, melihat rumahnya di Kampung Bukit Tambun, Alor Gajah, dinaiki air. FOTO BERNAMA
ABDUL Karim Talib, 88, melihat rumahnya di Kampung Bukit Tambun, Alor Gajah, dinaiki air. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sini yang menempatkan seramai 147 mangsa banjir daripada 41 keluarga, berikutan hujan lebat sejak 5 petang semalam, yang menyebabkan beberapa kawasan di daerah Jasin dan Alor Gajah dinaiki air.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata tiga PPS itu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tedong dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum di Jasin, manakala SK Durian Tunggal di Alor Gajah.

"Setakat 8 pagi ini, seramai 147 mangsa daripada 41 keluarga ditempatkan di PPS iaitu 68 mangsa ditempatkan di SMK Dang Anum, 11 mangsa di SK Tedong dan 68 mangsa di SK Durian Tunggal.

"Selain itu, terdapat dua jalan raya yang ditutup kerana ditenggelami air iaitu Jalan Lipat Kajang- Merlimau di Jasin dan Jalan Durian Tunggal-Simpang Gading di Alor Gajah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Effendy, yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata keadaan cuaca tidak menentu di seluruh negeri dengan cerah dan mendung di beberapa kawasan.

Beliau berkata agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Polis Diraja Malaysia sedang memantau keadaan dan akan memaklumkan keadaan dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 9:33 AM