GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan RM219,600 bagi membantu asnaf terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Besut.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, M Rozi Bidin berkata, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) golongan itu akan menerima bantuan RM200.

Beliau berkata, seramai 1,098 golongan asnaf tinggal di 15 mukim terbabit dengan pelaksanaan PKPD dikuatkuasakan kerajaan bermula Sabtu lalu hingga 4 Jun depan.

"Pembayaran bantuan khas RM200 bagi setiap KIR golongan asnaf itu akan dimasukkan terus ke akaun penerima mulai Ahad depan.

"Yang Dipertua Maidam, Datuk Osman Muda ketika mempengerusikan mesyuarat khas hari ini bersetuju meluluskan peruntukan bagi membantu meringankan bebanan golongan asnaf di 15 mukim dikenakan PKPD seperti diumumkan kerajaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

M Rozi berkata, bantuan khas itu diluluskan bagi meringankan bebanan dan kesulitan terpaksa dilalui KIR golongan asnaf yang tinggal di 15 mukim di daerah Besut.

Beliau berkata, KIR golongan asnaf diminta menggunakan bantuan itu sebaik mungkin dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 7:03 PM