EMPAT suspek termasuk seorang wanita di bawa ke Mahkamah Majistret Selayang bagi lanjutan tahanan reman berhubung kes pencemaran Sungai Selangor. FOTO Saifullizan Tamadi
EMPAT suspek termasuk seorang wanita di bawa ke Mahkamah Majistret Selayang bagi lanjutan tahanan reman berhubung kes pencemaran Sungai Selangor. FOTO Saifullizan Tamadi
Farah Marshita Abdul Patah


Selayang: Seorang wanita yang juga pengarah sebuah syarikat pembinaan jalan raya disambung reman sehari lagi sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian pencemaran bau di Sungai Selangor.

Majistret Nor Hafizah Rajuni turut memerintahkan tiga lagi suspek iaitu seorang pengarah dan dua pekerjanya disambung reman enam hari bermula hari ini sehingga 23 November hadapan berhubung siasatan sama.

Terdahulu kesemua suspek yang berusia antara 33 hingga 43 tahun hadir ke Mahkamah Majistret di sini, kira-kira jam 9.25 pagi tadi.

Siasatan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan, atas perbuatan khianat sehingga menyebabkan berlaku pemutusan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau bagi menjalankan sebarang pengeluaran.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 11 November lalu, keempat-empat suspek direman tujuh hari sehingga semalam selepas ditahan polis.

Sebelum ini, media melaporkan empat Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas berikutan pencemaran bau bahan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor.

LRA itu adalah Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan LRA Rantau Panjang.

Ini adalah kejadian pencemaran sungai ketiga berturut-turut berlaku dalam tempoh tiga bulan bermula September lalu yang mengakibatkan henti tugas di LRA sama.

Susulan penutupan empat LRA berkenaan, dilaporkan lebih 1.1 juta pengguna akaun membabitkan 1,279 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Kawasan itu merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 3:54 PM