ANGGOTA tentera dan polis membuat rondaan di flat Taman Desa Jati, Nilai, sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
ANGGOTA tentera dan polis membuat rondaan di flat Taman Desa Jati, Nilai, sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Amin Jalil

KADAR kepatuhan penduduk daerah Nilai, Negeri Sembilan, terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus meningkat apabila hanya sekitar dua peratus yang masih didapati ingkar mematuhi arahan itu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata, kepatuhan penduduk terhadap PKP bagi tujuan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19, kini mencecah 98 peratus.

Katanya, walaupun penduduk sudah menunjukkan kepatuhan namun baki dua peratus yang masih ingkar itu merisaukan pihaknya.

"Sehingga kini kepatuhan masyarakat terhadap PKP memang dilihat sudah meningkat, tetapi masih ada segelintir kalangan mereka yang degil.

"Justeru, saya mengingatkan mereka jika hendak keluar rumah biarlah mempunyai perkara yang benar-benar mustahak seperti untuk tujuan membeli barangan keperluan dapur.

"Dan mereka perlu lakukan urusan itu pada siang hari," katanya ketika dihubungi tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Nor Marzukee berkata, pihaknya akan bertindak tegas termasuk menahannya terhadap mereka yang keluar rumah selepas jam 8 malam.

Katanya, mereka yang berada dalam kawasan yang mempunyai taman permainan awam atau di bawah pangsapuri perlu berhati-hati dengan tidak cuba mengambil kesempatan untuk keluar dan berkumpul.

"Anak remaja yang tidak bersekolah ini seringkali mengambil kesempatan untuk keluar rumah dan mengingkari arahan PKP dan saya nasihatkan janganlah mengingkari arahanini.

"Jika mereka (remaja) ini ditangkap kerana ingkar PKP, akan beri kesan kepada masa depan. Mereka ini selalunya tidak berfikir panjang tentang wabak ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau dengan tegas mengingatkan ibu bapa supaya mengawasi pergerakan anak masing-masing supaya kekal berada di rumah sepanjang tempoh PKP ini.

"Tiada tindakan nasihat lagi diberikan kepada mereka yang ingkar PKP untuk memastikan keadilan diberikan kepada semua pihak," tegasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, berkata, kepatuhan penduduk daerah itu terhadap PKP setakat ini mencapai 97 peratus.

"Penduduk didapati mematuhi arahan PKP, namun operasi diteruskan menerusi sekatan jalan dan rondaan dijalankan di kawasan tumpuan," katanya.

Beliau berharap semua pihak memberi sokongan kepada usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19, sekali gus masyarakat dapat merasai berakhirnya penularan wabak itu.

Rembau antara kawasan baharu selepas Seremban yang ditarifkan sebagai zon merah Covid-19 selepas merekodkan 41 kes Covid-19, kelmarin.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 5:51 PM