Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Terdapat seramai 3.8 juta orang dewasa menghidap diabetes di Malaysia ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam masa memerangi Covid-19 tetapi harus diingat juga bahawa penyakit tidak berjangkit juga perlu dikawal.

"Kita dapat lihat, jururawat memainkan peranan sangat penting dalam aktiviti pencegahan, saringan, rawatan serta pemulihan pesakit diabetes ini.

"Bagi menghargai mereka (jururawat), kita mengangkat tema Hari Diabetes pada tahun ini 'Diabetes: Jururawat Nadi Perubahan'," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Hari Diabetes Sedunia akan disambut pada Sabtu ini serentak dengan sambutan Deepavali.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya melancarkan 'LightUpBlue@Putrajaya' bermula 7 malam ini sehingga 15 November.

"Bangunan dan persekitaran Putrajaya akan dilimpahi dengan cahaya biru sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada jururawat serta lain-lain petugas barisan hadapan yang terus cekal dalam memberikan penjagaan penyakit diabetes juga penyakit kronik lain," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menjalani saringan kesihatan.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 7:09 PM