GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang cucu tergamak menyamun neneknya sendiri dengan melarikan rantai tangan emas dan rantai leher selepas mencederakan mangsa.

Kejadian dipercayai berlaku 1 petang kelmarin, ketika mangsa berusia 78 tahun yang tinggal seorang diri di rumahnya di Telok Kechai, Jalan Kuala Kedah didatangi suspek lelaki berusia 32 tahun itu.

Kejadian itu disedari wanita berusia 25 tahun yang juga cucu saudara mangsa ketika sampai di rumah itu pada 2.30 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, cucu saudara mangsa kemudian masuk ke dalam rumah dan mendapati mangsa dalam keadaan berlumuran darah di bahagian muka, bengkak di dahi dan sakit di anggota badan lain.

Beliau berkata, mangsa memaklumkan yang dia disamun cucunya sendiri dengan melarikan rantai leher dan rantai tangan.

"Kami percaya berlaku pergelutan ketika kejadian sehingga menyebabkan mangsa cedera.

"Laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian itu," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Mohd Redzuan berkata, suspek dikatakan tertinggal senjata buku lima yang digunakan dalam kejadian itu di rumah mangsa.

Bagaimanapun, katanya, bertindak atas maklumat, sekitar 1.30 pagi semalam, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar terserempak dengan suspek di belakang sebuah restoran di Kuala Kedah.

"Suspek cuba melarikan diri dengan sebuah motosikal namun gagal apabila dia berjaya ditahan polis.

"Turut dirampas adalah buku lima dipercayai senjata yang digunakan untuk tujuan samun," katanya.

Mohd Redzuan berkata, suspek direman tujuh hari mulai semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan cedera dan jika disabit kesalahan boleh kenakan hukuman boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga mendapati dia positif dadah methampetamine.

"Bagaimanapun suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.

"Turut ditemui semula rantai leher mangsa dan kes berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 5:13 PM