GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kenaikan duti eksais peranti rokok elektronik dan bukan elektronik mampu mengurangkan jumlah perbelanjaan kesihatan kerajaan terhadap penyakit berkaitan rokok.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, langkah kerajaan itu tepat pada masanya kerana jumlah perokok yang ramai di negara ini.

Katanya, disamping meningkatkan pendapatan negara menerusi kutipan duti eksais dan dalam masa sama mampu mengurangkan jumlah perokok tempatan.

"Ini pendekatan yang boleh mengurangkan jumlah perokok kerana duti eksais akan pengaruhi harga rokok dan vape di pasaran.

"Ia juga boleh mempengaruhi perokok tegar untuk berhenti manakala mereka yang mahu cuba merokok akan membatalkan hasrat itu," katanya kepada Harian Metro.

Dr Zainal Ariffin berkata, kerajaan juga perlu memastikan penguatkuasaan dan pelesenan ditambah baik agar tiada pihak yang mengambil kesempatan menjual rokok murah kepada masyarakat.

Katanya, produk vape umpamanya yang terbahagi kepada kategori bernikotin dan tidak bernikotin akan memberikan cabaran kepada kerajaan mengenakan duti eksais.

"Diharap kenaikan duti eksais mampu mengurangkan perbelanjaan kesihatan kerajaan dan dalam masa sama menjadikan Malaysia sebuah negara yang sihat," katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021, Jumaat lalu, kerajaan akan mengenakan duti eksais pada kadar 10 peratus ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape berkuat kuasa 1 Januari 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, cecair rokok elektronik juga akan dikenakan duti eksais pada kadar 40 sen per milimeter.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 1:33 PM