MOHD Hisamudin ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020 di Dewan Negara hari ini.
MOHD Hisamudin ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020 di Dewan Negara hari ini.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan disarankan mengenakan cukai kepada cecair vape bernikotin untuk memaksimumkan hasil kutipan cukai terhadap industri vape.

Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, berdasarkan laporan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), kutipan eksais cecair vape pada suku tahun ini berjumlah RM100,000, jauh lebih rendah berbanding dengan anggaran industri sebanyak RM300 juta setahun.

"Kutipan yang rendah ini adalah disebabkan oleh pelaksanaan eksais rokok elektrik ini hanya kepada cecair tanpa nikotin yang mewakili tiga peratus dari keseluruhan pasaran manakala 97 peratus selebihnya adalah cecair vape bernikotin yang kini tidak dikawal selia dan tidak dikenakan cukai.

"Jika kerajaan mengenakan cukai kepada cecair bernikotin ini, saya percaya ia adalah satu sumber baru ekonomi negara," katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020 di Dewan Negara, hari ini.

Mohd Hisamudin berkata, apabila kerajaan memperkenalkan duti eksais rokok elektronik, ia adalah satu perkara baru yang akan menambah sumber pendapatan negara.

"Begitu juga sama dengan Levi Keuntungan Luar Biasa ini, ia akan turut menjadi sumber alternatif kepada pendapatan negara. Segala kritikan terhadap Rang Undang-Undang ini tidak pun mendatangkan manfaat kepada rakyat dan negara.

"Malah, saya mengesyorkan cukai vape dinaikkan untuk menambah hasil pendapatan negara," katanya.

Menurutnya, ketika ini kadar 40 sen yang dikenakan bagi setiap mililiter (ml) agak rendah dan dijangkakan beberapa tahun lagi sumbangan industri vape akan mencecah RM10 bilion.

"Berdasarkan maklumat Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), industri vape di Malaysia bernilai RM2.27 bilion pada 2019.

"Terdapat lebih 3,300 perniagaan terbabit secara langsung dalam industri vape, dengan tenaga kerja melebihi 15,000 orang dan dianggarkan pekerja dalam industri vape dibayar gaji mencecah RM450 juta secara keseluruhan pada 2019 sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 4:24 PM