MANGSA ditemui meninggal dunia di dalam kereta di Pusat Komersial Belian, Jalan Batu 15 di sini. FOTO Melvin Joni
MANGSA ditemui meninggal dunia di dalam kereta di Pusat Komersial Belian, Jalan Batu 15 di sini. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kota Samarahan: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam keretanya yang diparkir di Pusat Komersial Belian, Jalan Batu 15 di sini, awal pagi ini dipercayai akibat serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anggota unit peronda (MPV) polis ketika menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan kira-kira jam 3 pagi.

Katanya, pegawai perubatan dari Pusat Jantung Kota Samarahan yang tiba di lokasi tidak lama kemudian mengesahkan lelaki berkenaan sudah meninggal dunia.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah memandangkan semua barang peribadi serta dokumen pengenalan diri lelaki berkenaan tidak hilang.

"Pemeriksaan fizikal juga tidak mendapati sebarang kesan kecederaan atau pergelutan serta sebarang senjata berbahaya yang dijumpai di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sudirman, lelaki berkenaan berasal dari Kampung Stakan Melayu, Kota Samarahan yang bekerja sebagai jurukimpal serta sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada isterinya, lelaki berkenaan keluar rumah pagi semalam dan kali terakhir menerima panggilan telefon daripadanya pada kira-kira jam 11 pagi.

"Lelaki terbabit mempunyai sejarah penyakit jantung dan pernah menerima rawatan di hospital tetapi dikatakan berhenti makan ubat," katanya.

Sudirman berkata, mayat dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk sarimgan Covid-19 sebelum bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 1:50 PM