SHARIFAH Sitti Saleha (kiri) ketika sidang media di luar pintu masuk PTS Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
SHARIFAH Sitti Saleha (kiri) ketika sidang media di luar pintu masuk PTS Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Seramai 510 tahanan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Kota Kinabalu dan Tawau disahkan positif Covid-19, setakat ini.

Jumlah itu diperolehi hasil ujian saringan yang dijalankan terhadap 3,124 tahanan bermula 30 Oktober lalu di PTS Kota Kinabalu dan 2 November lalu bagi PTS Tawau.

Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pihaknya sudah mengambil segala langkah perlu dalam usaha mencegah penularan wabak berkenaan ke dalam PTS.

Katanya, ini termasuk memberhentikan sesi lawatan pihak luar termasuk ahli keluarga tahanan kecuali membabitkan aspek keselamatan, pihak konsul dan kedutaan negara luar.

"Bagi kes positif yang dikesan di PTS Kota Kinabalu dan Tawau, ia membabitkan tahanan baharu yang mendapat keputusan negatif pada ujian saringan pertama dan tidak bergejala.

"Bagaimanapun, selepas ditempatkan di dalam PTS melebihi 14 hari, tahanan mula menunjukkan gejala seperti demam dan batuk sebelum disahkan positif Covid-19. Kes ini masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS)," katanya pada sidang media di PTS Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Sharifah Sitti Saleha berkata, pelbagai tindakan sudah diambil termasuk mewujudkan pengezonan blok dan mengasingkan tahanan mengikut kategori.

Katanya, pihak MKN juga dalam proses penilaian keperluan 'makeshift treatment centre' (MTC) bagi memudahkan pelaksanaan rawatan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Bagi memutuskan rantaian dan risiko penularan Covid-19 di luar PTS Kota Kinabalu, semua tahanan yang sedang dirawat di hospital dijaga oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.

"Bagi PTS Tawau, JIM Tawau membantu kawalan keselamatan bagi orang tahanan yang berada di pusat kuarantin atau pusat rawatan tambahan," katanya.

Sementara itu, bagi mengatasi masalah kesesakan pula, beliau berkata, MKN Sabah mengesa agar pengaktifan segera pusat kuarantin tahanan pendatang asing tanpa izin (Pati) dibuat segera untuk pengasingan antara tahanan mengikut kategori.

Katanya, pengasingan itu akan dapat menghentikan penularan wabak berkenaan dan tidak akan berulang di masa akan datang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 2:50 PM