Foto hiasan
Foto hiasan
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Pekerja ladang di Kinabatangan dikenal pasti sebagai kes indeks Kluster Hulu Jerocco yang dilaporkan di Sabah, semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, individu terbabit dikesan positif Covid-19 hasil saringan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Semalam, satu kluster baharu dilaporkan iaitu Kluster Hulu Jerocco di Kinabatangan mencatatkan sembilan kes positif Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 29 kes.

"Saringan kontak rapat dan tempat kerja mendapati 28 kes lagi positif Covid-19 dikesan melalui ujian RTK Ag dan rt-PCR.

"Aktiviti pengesanan masih diteruskan ke ladang milik syarikat yang sama," katanya dalam satu kenyataan media mengenai perkembangan Covid-19 di Sabah, hari ini.

Sementara itu, Masidi turut berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaporkan hari ini Sabah mencatatkan sebanyak 180 kes dan ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 50,723 kes.

Menurutnya, daripada 180 kes positif Covid-19 yang dicatatkan, sebanyak 126 kes adalah berpunca daripada saringan kontak rapat, saringan bergejala (18 kes), saringan kluster baharu dan sedia ada (12 kes), kluster PERKESO (9 kes) dan 15 kes adalah lain-lain kategori.

"Dua kes kematian direkodkan pada hari ini iaitu masing-masing membabitkan satu kes di Kota Kinabalu dan satu kes di Kota Belud.

"Bagi kes sembuh, seramai 317 pesakit Covid-19 dibenarkan dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 48,360 orang.

"Sementara itu, seramai 1,420 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 557 orang di hospital, 861 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan dua orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS).

"Bilangan pesakit Covid-19 dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 70 orang dan 22 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 11:12 AM