Raja Noraina Raja Rahim


Serdang: Dua lelaki warga emas yang sedang leka berjudi di sebuah premis di Pusat Komersial Koi, Jalan Puchong di sini, ditahan polis malam tadi.

Kedua-dua lelaki berusia 70 dan 77 tahun itu antara 10 kaki judi yang ditahan dalam serbuan Op Judi Online Khas oleh sepasukan pegawai serta anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, jam 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.

Menurutnya, seramai lima penjaga premis iaitu seorang lelaki tempatan, pasangan suami isteri warga Myanmar dan dua wanita Indonesia ditahan, selain 10 pemain berusia 30 hingga 77 tahun.

"Berdasarkan maklumat, premis menawarkan aktiviti judi dalam talian itu beroperasi 24 jam dan penjaga premis turut disediakan tempat tinggal di premis berkenaan.

"Mereka hanya menerima pelanggan yang dikenali. Pelanggan akan menekan loceng di luar premis dan penjaga akan mengenal pasti pelanggan terbabit menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum membenarkan masuk.

"Hasil soal siasat, premis itu sudah beroperasi empat tahun. Malah, semakan mendapati semua penjaga premis warga asing itu tidak mempunyai permit kerja yang sah," katanya dalam sidang media sebaik tamat operasi.

Razali berkata, kesemua yang ditahan turut dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, dalam operasi itu polis turut merampas 17 komputer riba, satu unit modem dan wang tunai sebanyak RM68.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Pertaruhan 1953 kerana menguruskan rumah pertaruhan.

WARGA emas antara ditahan ketika Op Judi Online di Taman  Perindustrian Puchong. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
WARGA emas antara ditahan ketika Op Judi Online di Taman Perindustrian Puchong. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 10:55 AM