Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: "Saya tunggulah. Selalunya akan buat siasatan, kemudian kita tengok proses seterusnya. Saya akan menunggu sama ada diperlukan (diambil keterangan) atau diteruskan pendakwaan".

Itu kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof selepas beliau selesai diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus keluar dari pagar Bukit Aman jam 7.20 malam.

Terdahulu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu hadir ditemani peguamnya, Noorazmir Zakaria ke Bukit Aman jam 5.35 petang.

Mujahid berkata, beliau diambil keterangan bermula jam 6 petang untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 41 Akta Hasutan 1948.

"Ini adalah di atas laporan yang diterima oleh pihak polis berkenaan ucapan yang saya buat pada Mac lalu di kawasan (Parlimen) saya di Parit Buntar (Perak).

"Saya tak ingat tarikh tepat ucapan itu tetapi yang pasti pada Mac itu setelah jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan selepas selesainya pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri," katanya.

MUJAHID ketika sidang media selepas hadir di Ibu pejabat Polis Bukit Aman. FOTO BERNAMA
MUJAHID ketika sidang media selepas hadir di Ibu pejabat Polis Bukit Aman. FOTO BERNAMA

Ditanya mungkin beliau akan lebih berhati-hati apabila berucap, Mujahid berkata ucapannya adalah sifat sebagai ahli legislatif.

"Itu biasalah. Saya berucap di atas kapasiti saya sebagai Ahli Parlimen dan semua yang saya cakap itu sudah berpandukan kepada sifat saya sebagai ahli legislatif," katanya.

Sementara itu, Noorazmir berkata, sepanjang tempoh diambil keterangan pihak polis lebih kepada mahu mengetahui apakah maksud sebenar inti ucapan Mujahid, Mac lalu.

"Anak guam saya sudah memberikan kerjasama yang baik. Sebab itu rakaman tadi amat singkat, tidak ada apa-apa hendak diperjelaskan dengan panjang lebar," katanya.

Terdahulu Mujahid melalui Twitternya memaklumkan beliau akan memberi kerjasama kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman jam 5.30 petang.

"Saya akan beri kerjasama, semoga dipermudahkan segala urusan semua pihak," ciapnya.

Sebelum ini, satu laporan polis dibuat ke atas Mujahid dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung kenyataan mereka mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang pada Mac lalu.

Berita berkaitan

Mujahid masih belum keluar...

Mujahid dipanggil ke Bukit Aman [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 8:57 PM