Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerima sejambak bunga dan pantun sebagai motivasi untuk terus berjuang membanteras pandemik Covid-19.

Jambangan bunga serta empat rangkap pantun berjudul 'Kita Jaga Kita, Kita Jaga Tan Sri' itu dihadiahkan Perkhidmatan Psikatri dan Kesihatan Mental, Kementerian Kesihatan (KKM), petang kelmarin.

Dr Noor Hisham turut memuat naik gambar jambangan bunga dan pantun berkenaan di laman Facebook rasminya, selain berdoa supaya semua urusan membanteras Covid-19 dipermudahkan Allah SWT.

PANTUN dan sejambak bunga yang dihadiahkan kepada Dr Noor Hisham. FOTO IHSAN FB PERKHIDMATAN PSIKATRI DAN KESIHATAN MENTAL KKM
PANTUN dan sejambak bunga yang dihadiahkan kepada Dr Noor Hisham. FOTO IHSAN FB PERKHIDMATAN PSIKATRI DAN KESIHATAN MENTAL KKM

"Semoga dipermudahkan Allah SWT, marilah kita berusaha bersungguh-sungguh dan bertawakal kepada Allah SWT," katanya.

Hantaran berkenaan menerima 22,000 reaksi daripada orang ramai, selain turut dikongsi siar hampir 600 netizen dan mendapat kira-kira 1,000 komen berbentuk motivasi, setakat jam 10 pagi tadi.

Empat rangkap pantun itu adalah:


Covid-19 datang menyerang,

Tanpa kelibat musuh melanda;

Seluruh dunia sedang berperang,

Ujian dahsyat umat manusia.


Berdinihari atas perahu,

Ribut melanda bertalu-talu;

Rasa di hati Tuhan yang tahu,

Seluruh negara di atas bahu.


Dari mercu turun di perdu,

Tiap saat langkah berhemat;

Tan Sri memacu kami dipandu,

Demi rakyat terus berkhidmat.


Di balik mendung serata bumi,

Ada cahaya ada mentari;

Doa dipohon daripada kami,

Moga Tan Sri teguh berdiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 1:47 PM