MUHYIDDIN ketika menghadiri Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Sungai Terap/Sungai Raya Muar Berhad. FOTO Bernama
MUHYIDDIN ketika menghadiri Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Sungai Terap/Sungai Raya Muar Berhad. FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh

Muar: Perdana Menteri terharu dan menghargai pengorbanan besar barisan hadapan negara yang bekerja tanpa henti sejak negara dilanda pandemik Covid-19.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, barisan hadapan negara kini sudah sampai ke tahap 'penghujung' sehingga tidak terdaya lagi menangani penularan wabak Covid-19, pengorbanan mereka itu cukup besar buat negara.

"Saya amat sedih dan kasihan dengan frontliner (barisan hadapan) kita seperti doktor, jururawat, polis, tentera, bomba dan pelbagai lagi.

"Mereka sudah sampai tahap penghujung sehingga tidak mampu lagi bertahan kerana tidak berhenti bekerja siang dan malam sejak pandemik ini melanda negara, ini satu pengorbanan yang amat luar biasa.

"Orang kata, wira yang tak didendang, jadi kita harus ucap terima kasih dan zahirkan penghargaan kepada mereka di barisan hadapan yang korbankan masa dan keluarga untuk bantu kita supaya selamat daripada Covid-19 ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Koperasi Sungai Terap di Dewan Seri Permata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Pasir di sini hari ini.

Rabu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan mengakui dirinya berdepan tekanan tinggi sehingga kadangkala tidak dapat tidur malam memikirkan pelbagai aktiviti untuk menyelesai masalah Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, jika dilihat memang ada isu kelesuan mental dan fizikal dalam kalangan petugas kesihatan di lapangan malah di Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengalaminya kerana kini berperang berterusan tanpa henti sejak 10 bulan lalu tanpa cuti.

Beliau dilaporkan berkata, setiap hari perlu ada mesyuarat dan tindakan dalam menjalankan tugas sehingga mungkin ada yang terkesan sehingga mengalami tekanan tinggi termasuk dirinya sendiri.

"Setakat ini kita masih boleh bertahan dan pagi ini saya ada membuat sidang video dengan pakar di Sabah dan melihat kepada isu-isu serta permasalahan mereka," katanya ketika mengulas dakwaan ada dalam kalangan petugas kesihatan menghadapi tekanan mental sehingga ada yang terpaksa mengambil cuti akibat berperang dengan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 2:03 PM