Mohamed Farid Noh


KERAJAAN akan terus melaksanakan prosedur standard operasi (SOP) Covid-19 termasuk mengekalkan pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial selagi vaksin wabak berkenaan belum ditemui.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pematuhan kepada SOP ditetapkan itu adalah penting bagi mengelakkan penularan semula wabak berkenaan.

Katanya, pada masa ini ada usaha dilakukan mencari vaksin oleh beberapa negara maju dunia, namun ia masih belum ditemui.

"Saya jangkakan selagi wabak Covid-19 belum selesai dan vaksin belum temui, kita kena patuh pada SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM), supaya kita tidak dijangkiti.

"Pematuhan kepada SOP pula perlu diamal dan dilakukan sepanjang masa sehingga KKM memaklumkan sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, dekat Muar, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir berkata, beliau amat berbangga dengan rakyat Malaysia yang amat berdisplin dan mematuhi SOP ketat ditetapkan kerajaan.

Katanya, walaupun ada segelintir rakyat yang masih tidak mematuhi sepenuhnya SOP, namun jumlahnya sangat kecil.

MUHYIDDIN (tiga, kanan) dan Noorainee (kanan) beramah mesra bersama Pengurus Kilang De Muara Enterprise Mohd Zain Solihin (tiga, kiri) ketika lawatan di Bukit Gambir. Turut hadir Hasni (dua, kanan). FOTO Bernama
MUHYIDDIN (tiga, kanan) dan Noorainee (kanan) beramah mesra bersama Pengurus Kilang De Muara Enterprise Mohd Zain Solihin (tiga, kiri) ketika lawatan di Bukit Gambir. Turut hadir Hasni (dua, kanan). FOTO Bernama

"Apa yang berlaku kepada negara kita ketika peraturan sekatan perjalanan dikuatkuasakan dan diperkenalkan tidak pernah berlaku sejak merdeka.

"Saya masih ingat lagi, saya baharu sahaja mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac dan pada 18 Mac keputusan bersejarah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan bagi mengawal penularan Covid-19.

"Alhamdulilah, dunia iktiraf apa yang kerajaan lakukan dalam mengawal Covid-19 sehingga Malaysia diiktiraf sebagai lima negara terbaik di dunia dalam melakukan langkah kawalan pandemik itu.

"Apa yg istimewa, kerajaan hendak rakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada barisan hadapan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), petugas dan anggota perubatan selain anggota badan beruniform," katanya.

Muhyiddin berkata, sudah tiba masanya rakyat memberi peluang kepada petugas kesihatan negara berehat sementara selepas bertungkus-lumus ketika pandemik Covid-19 memuncak sebelum ini

"Pemimpin masyarakat perlu mengambil alih peranan petugas kesihatan kita dengan sentiasa mengingatkan masyarakat supaya mematuhi SOP sepanjang masa bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 12:37 PM