KRU kapal Dayang Topaz yang diselamatkan. FOTO ihsan APMM
KRU kapal Dayang Topaz yang diselamatkan. FOTO ihsan APMM
BERNAMA

Miri: Mayat mangsa insiden MV Dayang Topaz yang karam pada Selalu lalu, Jurutera Kedua Aaron Michael Rajasgran dijangka diterbangkan ke Kuala Lumpur, esok.

Balu mendiang, Nateshwari Dhusan berkata, setibanya di Kuala Lumpur, mayat mendiang akan dibawa ke rumah ibu bapanya di Kampung LBJ, Seremban, Negeri Sembilan untuk upacara penghormatan terakhir sebelum dibakar pada 10 pagi Sabtu ini.

Ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi 'Messenger' petang ini, beliau berkata, mayat suaminya akan dimandikan dahulu sebelum dibawa pulang ke rumah.

"Mayat beliau akan dibakar dan abunya akan dikumpulkan dan ditanam di kubur neneknya," kata jururawat di sebuah rumah jagaan swasta di Ipoh, Perak yang amat sedih di atas pemergian suaminya itu.

Aaron, 34, yang maut akibat lemas meninggalkan Nateshwari dan dua anak perempuan berusia lima dan lapan tahun.

Terdahulu, Nateshwari memberitahu Bernama walaupun hidupnya tidak seperti dahulu selepas pemergian Aaron, dua anaknya itu memberi semangat untuk beliau meneruskan kehidupan.

Sementara itu, mayat pemasang rig Thomas Liang, 39, yang turut maut akibat lemas dalam insiden itu telah dibawa ke rumah panjangnya di Ulu Bawan, Kanowit.

Bapa mendiang Liang Gura merupakan "tuai rumah" atau ketua rumah panjang di sana.

Menurut mesej disiarkan menerusi saluran Iban RTM WaiFm hari ini, Thomas yang lebih dikenali sebagai BJ akan dikebumikan di Nirvana Memorial Park di Sibu pada Sabtu.

Saudara-mara dari Bawan, Bejait, Tuah, Pedai, Ulu Balingian dan Sibu dijemput untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di rumah panjang itu bermula esok.

Mendiang Aaron dan Thomas antara 125 anak kapal yang terjun menyelamatkan diri apabila kapal MV Dayang Topaz tidak dapat dikawal selepas salah satu daripada kabel sauhnya putus sebelum bertembung dengan platform minyak Baram B ketika cuaca buruk pada Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 11:58 PM