ANTARA ais krim yang dirampas KPDNHEP Cawangan Pontian selepas didapati menggunakan logo halal tanpa perakuan sah. FOTO Ihsan KPDNHEP
ANTARA ais krim yang dirampas KPDNHEP Cawangan Pontian selepas didapati menggunakan logo halal tanpa perakuan sah. FOTO Ihsan KPDNHEP
Mohamed Farid Noh


Pontian: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Pontian merampas ais krim bernilai RM59,762 dari sebuah kilang di Benut, dekat sini, selepas didapati menggunakan logo halal tanpa perakuan sah, semalam.

KPDNHEP mengambil tindakan itu selepas mendapat aduan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sebelum menyerbu premis yang terletak di Parit Marjunit, Benut.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Daerah Pontian Md Arifin Baharin berkata, seramai lapan anggota penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Pontian dan Johor Bahru bersama-sama empat pegawai dari JAINJ melakukan siasatan di kilang berkenaan sebaik aduan rasmi dilakukan.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan ada mengeluarkan produk ais krim menggunakan logo halal yang menimbulkan syak sekali gus melanggar Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana mengisytiharkan ais krim dibekalkannya sebagai halal serta boleh dimakan oleh orang Islam yang menjadi suatu kesalahan mengikut Perintah 8 (b) Perintah sama.

"Berikutan itu, KPDNHEP mengambil tindakan menyita 2,675 kotak ais krim pelbagai perisa di kilang berkenaan yang bernilai RM28,640 selain 273 gulung plastik bungkusan bercetak logo halal bernilai RM31,122 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM59,762," katanya dalam kenyataan, hari ini.

KPDNHEP Cawangan Pontian dengan kerjasama JAINJ  menyerbu sebuah kilang ais krim di Benut. FOTO Ihsan KPDNHEP
KPDNHEP Cawangan Pontian dengan kerjasama JAINJ menyerbu sebuah kilang ais krim di Benut. FOTO Ihsan KPDNHEP

Md Arifin berkata, bagi kesalahan yang dilakukan mengikut Perintah 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda maksimum RM200,000 dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, boleh didenda maksimum RM500,000.

"Jika kesalahan itu dilakukan individu pula, dia boleh didenda maksimum RM100,00 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda maksimum RM250,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"KPDNHEP memandang serius kesalahan menggunakan logo halal tanpa perakuan yang dilakukan oleh pihak berkuasa dan memberi amaran keras kepada semua pengeluar produk makanan untuk tidak sewenang-wenangnya menggunakan logo halal tanpa perakuan pihak berkuasa berwibawa yang boleh mengelirukan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 5:08 PM