AZMAN (kanan) bersama Zawawi (tengah) melepaskan benih udang galah pada Program Pelepasan Sejuta Benih Ikan di kawasan Sungai Lebam, Tasik Kenyir.  FOTO Zaid Salim
AZMAN (kanan) bersama Zawawi (tengah) melepaskan benih udang galah pada Program Pelepasan Sejuta Benih Ikan di kawasan Sungai Lebam, Tasik Kenyir. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Hulu Terengganu: Lebih 800,000 benih udang galah dilepaskan di Tasik Kenyir, di sini, sekaligus menjadikan ia sebagai tarikan baru buat kaki pancing di tasik berkenaan.

Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sebelum ini Tasik Kenyir menjadi pilihan kaki pancing berikutan terdapat banyak spesis ikan berkualiti seperti kelah, lampam, temoleh, toman, baung dan terbol di tasik berkenaan.

"Pelepasan benih udang ini, ia secara tidak langsung memberi satu tarikan baru kepada kaki pancing khusus penggemar udang sama ada dari dalam dan luar negeri," katanya pada Program Pelepasan Sejuta Ekor Ikan di Sungai Lebam di Tasik Kenyir, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zawawi Ali.

Azman berkata, pelepasan benih udang itu bagi menampung sasaran sejuta benih ikan yang akan dilepaskan di tasik berkenaan yang dijangka selesai tahun depan.

Katanya, sehingga kini, kerajaan negeri menerusi Jabatan Perikanan Terengganu sudah melakukan sebanyak dua kali pelepasan benih udang membabitkan 802,260 ekor dengan nilai pasaran yang dianggarkan RM80,226.

"Kali pertama benih udang ini dilepaskan pada Selasa lalu iaitu 402,260 ekor dengan anggaran nilaian pasaran RM40,226.

"Semua bekalan benih udang ini diperoleh dari Pusat Penetasan Udang Galah (PPUG) di Kampung Acheh, Perak," katanya.

Beliau berkata, bagi pelepasan benih ikan, bermula Julai lalu sehingga kini, kerajaan negeri sudah melepaskan 905,260 ekor dengan anggaran nilai pasaran sebanyak RM240,000.

Menurutnya, daripada jumlah benih udang dan ikan yang dilepaskan, pihaknya menjangkakan sebanyak 60 hingga 80 peratus sahaja yang hidup dan matang dalam jangkamasa lapan bulan manakala selebihnya menjadi makanan ikan besar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 3:01 PM