Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Tindakan pelik apabila seorang lelaki sengaja menunggang motosikal sambil membunyikan hon di dalam sebuah pasar raya di sini.

Malah, video kelakuan lelaki itu turut dirakam dan tular di laman sosial Facebook (FB) selain mendapat ratusan komen nitizen.

Pengawal keselamatan sebuah kedai emas di pasar raya itu, Amirul Asyraf Ibrahim, 20, berkata, kejadian berlaku jam kira-kira 11 pagi tadi.

"Saya nampak penunggang motosikal itu masuk secara mengejut melalui pintu keluar pasar raya itu.

"Malah, dia (penunggang motosikal) turut dikejar pengawal keselamatan pasar raya," katanya ketika ditemui wartawan.

Beliau berkata, lelaki terbabit yang memakai topi keledar dan pelitup muka kemudian terus ke laluan belakang pasar raya sebelum berpatah balik dan keluar dari pasar raya itu.

"Saya terkedu dengan tindakan lelaki itu yang tidak menghiraukan keselamatan pengunjung di dalam premis.

"Difahamkan lelaki itu mempunyai masalah mental. Bagaimanapun, sejauh mana dakwaan itu tidak dapat dipastikan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu namun akan melakukan siasatan.

Lelaki yang menunggang motosikal di dalam sebuah pasar raya, tular di media sosial sejak semalam. FOTO /IHSAN PEMBACA
Lelaki yang menunggang motosikal di dalam sebuah pasar raya, tular di media sosial sejak semalam. FOTO /IHSAN PEMBACA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 5:38 PM