Izhar Ahmad.
Izhar Ahmad.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Johor bakal mewujudkan Pusat Pengembara Perniagaan (BTC) di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) yang dijangka beroperasi pada suku pertama tahun hadapan.

Exco Pelaburan Pembangunan Usahawan Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata, penubuhan BTC akan mempercepatkan pergerakan pelabur dan pengembara perniagaan masuk ke negeri ini.

Katanya, BTC yang bernilai RM10 juta itu berupaya meyakinkan pelabur dari Singapura untuk datang ke Johor.

"BTC di Johor akan dibuka di laluan kedua menerusi peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM10 juta. Pembukaan BTC ini diharap mampu menjadi perintis kepada penubuhan BTC di Tambak Johor.

"Kita sememangnya mahu tubuhkan BTC ini di Tambak Johor tetapi perlu membuat pelbagai persediaan kerana laluan tersebut adalah laluan darat paling sibuk di dunia yang dibimbangi akan berlaku limpahan pelawat," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Karnival Kerjaya Khas Belia dan Wanita Johor di Taman Skudai Kanan Bandar Baru Uda, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Izhar turut yakin Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) Malaysia dan Singapura bermula hujung bulan ini akan membuka lebih banyak ruang perbincangan kedua-dua negara untuk memperkenalkan lebih banyak skim laluan perjalanan.

"Selain VTL, terdapat skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang membolehkan perjalanan rentas sempadan untuk perniagaan penting dan tujuan rasmi antara kedua-dua negara dilakukan," katanya.

Malaysia dan Singapura dilaporkan akan melancarkan VTL antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai 29 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 8:05 PM