SUASANA di hadapan pintu masuk Penjara Reman Pulau Pinang, 13 Oktober lalu. FOTO arkib NSTP
SUASANA di hadapan pintu masuk Penjara Reman Pulau Pinang, 13 Oktober lalu. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Kerja-kerja sanitasi atau nyahkuman di Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai dilaksanakan secara berkala bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerja sanitasi dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di kedua-dua penjara itu susulan peningkatan kes Covid-19 hasil ujian saringan yang dilaksanakan.

"Sanitasi ini sudah dan sedang dilakukan dalam usaha membersihkan kawasan penjara yang kini berlakunya peningkatan kes.

"Bagaimanapun menurut JKNPP keadaan di kedua-dua masih terkawal dan ia hanya membabitkan banduan.

"JKNPP akan maklumkan kepada pihak kerajaan negeri apa bentuk bantuan yang diperlukan dan semalam kita sudah salurkan RM100,000 untuk membeli peralatan diperlukan dalam usaha memerangi virus ini," katanya pada sidang media selepas Merasmikan Perpustakaan Digital Butterworth, di sini, hari ini.

KON Yeow (kiri) di Perpustakaan Digital Butterworth. FOTO Nur Izzati Mohamad
KON Yeow (kiri) di Perpustakaan Digital Butterworth. FOTO Nur Izzati Mohamad

Chow berkata, beliau percaya akan berlaku peningkatan kes Covid-19 bagi kluster penjara di negeri itu.

"Banyak lagi ujian saringan yang masih menunggu keputusan.

"Apa yang penting sekarang adalah kita cuba mengekang dari merebak ke dalam komuniti dan kita sedang memantau rapi perkara ini," katanya.

Semalam, Kluster Penjara Reman Pulau Pinang mencatatkan pertambahan 27 kes manakala Kluster Penjara Jawi merekodkan pertambahan lima kes.

Secara keseluruhannya, terdapat 245 kes positif Covid-19 dilaporkan terhadap dua kluster penjara terbabit setakat ini.

Kes pertama tercetus membabitkan seorang lelaki warga emas yang meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas ditemui tidak sedarkan diri di penjara dan disahkan positif Covid-19.

Usaha mengekang penularan wabak giat dijalankan di kawasan Penjara Reman Pulau Pinang termasuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 2:02 PM