Nur Izzati Mohamad


Batu Kawan: Pulau Pinang berdepan cabaran baharu untuk meyakinkan rakyat negeri itu terutamanya golongan sasar supaya tidak takut untuk mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19.

Ia selepas 40 peratus rakyat negeri itu membabitkan warga emas yang menerima janji temu melalui MySejahtera dilaporkan tidak hadir bagi mendapatkan pelalian berkenaan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, keadaan itu didapati berlaku disebabkan isu keyakinan terhadap dos penggalak serta jenama vaksin yang dilihat menjadi faktor rakyat masih belum dapat menerimanya.

"Hal ini menjadi cabaran baharu untuk kita kerana sebelum ini kita nak galak semua dapatkan vaksin dan syukurlah kita capai peratusan yang tinggi.

"Namun, bagi suntikan dos penggalak kita dapati isu keyakinan antara puncanya termasuk isu jenama vaksin yang ramai menjadi keliru dan tidak jelas.

"Ini kerana, ada penerima Sinovac mereka hendak dos penggalak juga adalah Sinovac kerana takut bercampur dengan vaksin lain dan ada juga yang mahu jenama lain sehingga akhirnya menjejaskan keyakinan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penanaman Pokok Cassia Siamea di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), di sini, hari ini.

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika Majlis Penanaman Pokok Cassia Siamea. FOTO Nur Izzati Mohamad
CHOW Kon Yeow (tengah) ketika Majlis Penanaman Pokok Cassia Siamea. FOTO Nur Izzati Mohamad

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga diharapkan dapat memberikan penjelasan serta arahan terperinci berhubung suntikan dos penggalak bagi meningkatkan kesedaran dan menambah keyakinan masyarakat.

"Statistik menunjukkan bahawa suntikan dos penggalak mengurangkan kadar kematian dan jangkitan terhadap virus Covid-19.

"Pada ketika ini, kumpulan sasar membabitkan warga emas dilihat amat memerlukan suntikan dos penggalak," katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, situasi Covid-19 di Pulau Pinang berada dalam keadaan terkawal apabila tiada peningkatan kes harian yang mendadak.

"Selain itu, kemasukan pesakit ke hospital, penggunaan katil wad biasa dan unit rawatan rapi (ICU) serta penggunaan ventilator menunjukkan penurunan.

"Namun, kita masih perlu berjaga-jaga kerana Covid-19 masih berada dalam komuniti dengan sentiasa patuh pada prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 1:51 PM