Foto hiasan
Foto hiasan
Juwan Riduan

Labuan: Wanita yang memakai gelang merah jambu ditahan polis selepas didapati ingkar terhadap perintah kuarantin yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan semalam.

Wanita berusia 32 tahun itu ditahan pada 2.30 petang selepas didapati berada di sebuah kedai runcit untuk membeli barangan di kawasan bandar ini.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, penahanannya itu dibuat hasil maklumat orang awam selepas menyedari gelang yang dipakai wanita terbabit.

Menurutnya, wanita berkenaan dikenal pasti masuk ke Labuan melalui pintu masuk di Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada 27 September lalu sebelum mendapat perintah kuarantin sehingga 10 Oktober.

"Bagaimanapun, wanita itu kemudiannya diarahkan menjalani sambungan kuarantin di rumah bermula semalam sehingga 29 Oktober sementara menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 kali kedua.

"Namun suspek ingkar dan mengabaikan perintah kuarantin berkenaan dengan singgah ke kedai runcit bersama suaminya dipercayai ketika dalam perjalanan pulang dari hospital," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad Farid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit berbahaya.

Selain itu, katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak mematuhi perintah sah yang dikeluarkan pegawai berkuasa.

"Bagi kesalahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, jika disabit bersalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 pula, boleh dihukum penjara tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan pertama.

"Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya hukuman penjara tempoh tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.

Muhamad Farid berkata, bagi kesalahan berterusan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM200 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 8:23 AM