KEADAAN pintu masuk utama ke Kemta. FOTO arkib NSTP
KEADAAN pintu masuk utama ke Kemta. FOTO arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi

Ipoh: Kerajaan Perak memutuskan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan penularan wabak Covid-19 di Pusat Tahanan Koreksional (Kemta) Kamunting, Taiping.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perak ke-6, hari ini berdasarkan keadaan penularan wabak itu Kemta Kamunting terkawal dan belum ada keperluan untuk melaksanakan PKPD.

Menurutnya, jawatankuasa mendapati penularan jangkitan Covid-19 hanya membabitkan satu blok yang dikhaskan kepada tahanan yang berisiko saja.

"Sebagai langkah kawalan risiko jangkitan kepada pegawai, anggota dan keluarga mereka, pihak pengurusan Kemta juga memperketatkan prosedur penugasan anggota.

"Bilangan anggota yang dikhususkan untuk bertugas di blok itu juga dihadkan dan mereka diwajibkan memakai Peralatan Pelindung Peribadi (PPE) semasa bertugas," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, usaha memutuskan rantaian penularan dalam kawasan Kemta sedang giat dilaksanakan oleh pihak pengurusan dengan kerjasama Hospital Taiping dan Pejabat Kesihatan Daerah.

Katanya, selain itu, pihak pengurusan Kemta juga memastikan tiada sebarang kontak di antara anggota bertugas dengan tahanan dan pergerakan keluar masuk tahanan juga dihentikan bagi mengelakkan penularan baharu.

"Setakat hari ini tiada penambahan kes positif baharu dalam Kluster Batu. Justeru, rakyat khususnya penduduk di kawasan sekitar Kamunting dan Taiping dinasihatkan supaya tidak panik dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

"Kerajaan Negeri menyeru orang ramai supaya terus mengamalkan disiplin norma baharu bagi mengekang penularan Covid-19 di kalangan komuniti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 3:13 PM