Syaherah Mustafa


"SAYA beberapa kali cuba menarik nenek untuk keluar dari bilik, tetapi dia seperti panik dan berpatah balik ke arah bilik apabila melihat kepulan asap tebal dan api mula merebak," luah Nur Batrisyia Abdul Rahman, 17.

Nur Batrisyia adalah cucu kepada warga emas, Zainab Abdul Rahman, 76, yang rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Wakaf Bharu, Tumpat, pada 4.30 pagi tadi.

Katanya, sudah menjadi rutin harian untuk tidur bersama neneknya setiap kali ada ada di rumah kerana dia antara cucu paling rapat selain mereka suka berborak kosong sebelum terlelap.

"Bagaimanapun, pagi tadi saya dikejutkan oleh ibu, Masliza Yusuf, 48, yang menjerit meminta kami bangun dan menyelamatkan diri kerana rumah terbakar. Sebaik tersedar saya terus mengejutkan nenek yang terkejut dan kebingungan.

"Dalam keadaan yang cemas, saya cuba membantu nenek dengan menolaknya dari belakang untuk keluar dari bilik, pada awalnya kami berdua berjaya keluar namun dia kemudian berpatah balik ke bilik tanpa berkata apa-apa.

"Saya cuba untuk membawa nenek keluar sekali lagi, namun tidak berdaya kerana kepulan asap yang tebal selain tidak tahan dengan bahang api," katanya yang ditemui di rumah ibu saudaranya, di Kampung Kubang Labu, Wakaf Bharu.

Ketika kejadian, seramai enam penghuni berada di rumah termasuk dua adik Nur Batrisyia, iaitu, Muhammad Nafiz Iman, 13, dan Nur Balqis, 14, serta sepupu mereka, Syafiq Baharin, 23, yang mana kesemuanya mengalami kecederaan dan melecur di beberapa bahagian badan

Nur Batrisyia berkata, sebaik keluar melalui pintu dapur rumah, dia melihat ibunya masuk semula sambil menjerit memanggil nenek supaya keluar menyelamatkan diri, namun usaha itu tidak berjaya malah wanita itu melecur teruk dan kini mendapat rawatan di Klinik Kota Bharu.

"Saya seperti mahu pitam melihat rumah kami musnah dijilat api. Tiada jeritan suara nenek kedengaran, yang ada hanya tangisan kami di luar rumah yang pilu memikirkan nasibnya yang sudah disambar api namun semua yang ada tidak berdaya untuk membantu.

"Saya sendiri tidak mampu menyaksikan jenazah nenek yang sudah rentung diangkat untuk dibawa ke hospital. Bagaimana pun, kami sekeluarga reda dengan apa yang terjadi dan pasti merindui nenek yang menyayangi cucunya.

"Jenazah nenek dijangka dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Labu, Wakaf Bharu, di sini," katanya yang juga pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Katanya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kelaboran, Tumpat, untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

NUR Batrisyia Abdul Rahman menunjukkan lengannya yang cedera akibat kebakaran. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
NUR Batrisyia Abdul Rahman menunjukkan lengannya yang cedera akibat kebakaran. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Berita berkaitan

Wanita warga emas rentung

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 2:46 PM