Pertandingan Mencipta Logo Ulang Tahun UDA ke-50 diadakan sempena sambutan ulang tahun UDA yang ke-50 pada tahun hadapan. - FOTO The Edge Markets
Pertandingan Mencipta Logo Ulang Tahun UDA ke-50 diadakan sempena sambutan ulang tahun UDA yang ke-50 pada tahun hadapan. - FOTO The Edge Markets
Muhamad Shaifullah Tayep

KUALA LUMPUR: Syarikat pemaju hartanah, UDA Holdings Berhad (UDA) melancarkan Pertandingan Mencipta Logo Ulang Tahun UDA ke-50 sempena permulaan sambutan Jubli Emas.

Pengerusinya Datuk Jalaluddin Alias berkata, pertandingan mencipta logo itu membuka tirai sambutan ulang tahun UDA yang ke-50 pada tahun hadapan. 

Menurutnya, bagi menyemarakkan lagi sambutan Jubli Emas ini, UDA berbesar hati berkongsi kemeriahan dengan membuka penyertaan kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.

"Selama hampir separuh abad UDA menggalas peranan dan tanggungjawab untuk memaju serta melaksanakan projek pembangunan bandar, kini UDA setanding dengan syarikat pemaju hartanah yang diiktiraf di Malaysia. 

"Ini semua adalah hasil sokongan berterusan rakyat Malaysia terhadap usaha dan kerja keras yang digalas oleh UDA," katanya.

Penganjuran 'Pertandingan Mencipta Logo Bersempena Ulang Tahun UDA ke-50' itu juga selari dengan fokus UDA meningkatkan kesedaran ramai terhadap perjalanan UDA dan pada masa sama memperkenalkan logo UDA yang diberi nafas baharu.

Rebut hadiah lumayan dengan hanya mereka logo UDA. - FOTO UDA Holdings Berhad

Penyertaan kini sudah dibuka dan akan berakhir pada 31 Oktober ini. Pemenang pula bakal diumumkan pada November ini dan menawarkan hadiah keseluruhan berupa wang tunai berjumlah RM25,000. 

Pemenang hadiah utama bakal menerima wang tunai bernilai RM10,000, manakala tempat kedua dan ketiga bakal menerima wang tunai RM5,000 dan RM3,000. Tujuh pemenang hadiah saguhati pula bakal menerima RM1,000 setiap seorang.

Bukan itu saja, UDA turut menggalakkan penyertaan daripada pelajar universiti khususnya pelajar dari bidang seni dan rekaan grafik. 

Inisiatif itu selari dengan salah satu  teras tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA iaitu UDA Cares Educational yang menyasarkan pembangunan serta perkembangan generasi muda. 

UDA turut mempromosikan pertandingan berkenaan dengan mengedarkan poster hebahan ke universiti tempatan di seluruh negara.

Bagi yang berminat menyertai pertandingan ini, layari laman sesawang rasmi UDA uda.com.my atau platform media sosial rasmi UDA seperti www.facebook.com/UDAHoldings dan Instagram uda_official untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 9:48 PM