LOGO ciptaan Adib Lokman
LOGO ciptaan Adib Lokman
Rosyahaida Abdullah


Kuala Lumpur: Hampir 3,000 penyertaan diterima UDA Holdings Berhad (UDA) sempena Pertandingan Mencipta Logo Ulang Tahun UDA ke-50 sebelum 10 logo terbaik dipilih dan diumum sebagai pemenang.

Pertandingan berlangsung selama 22 hari bermula 10 hingga 31 Oktober lalu itu menyaksikan Adib Lokman, 27, menerima hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM10,000.

Kemenangan itu juga bakal menyaksikan rekaan logo Adib terpapar dan digunakan sepanjang sambutan Jubli Emas UDA pada tahun depan.

Selain Adib, turut diumum sebagai pemenang ialah Abdul Wahid Mat Arop, 35, yang berjaya menambat hati juri untuk mendapat tempat kedua, diikuti Hooi Kim Seong, 26, di tempat ketiga.

Kedua-dua mereka masing-masing membawa pulang RM5,000 dan RM3,000 manakala tujuh lagi peserta yang diumum sebagai pemenang hadiah sagu hati menerima RM1,000 setiap seorang.

Pengerusi UDA, Datuk Jalaluddin Alias berkata, beberapa siri penilaian membabitkan beliau sendiri selain pengurusan tertinggi dan kanan serta kakitangan UDA dijalankan bagi memilih 10 logo terbaik.

Jelasnya, pertandingan dibuka kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas itu mendapat sambutan cukup menggalakkan malah di luar jangkaan.

"Sebelum ini, hebahan dibuat menerusi pelbagai saluran termasuk televisyen, akhbar, portal berita dan media sosial berhubung penganjuran pertandingan ini bagi menggalakkan penyertaan.

"UDA amat berbesar hati menerima penyertaan daripada ribuan rakyat Malaysia yang begitu kreatif menterjemahkan idea masing-masing dalam bentuk rekaan logo sempena sambutan usia 50 tahun UDA pada tahun depan.

"Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan terima kasih juga kepada semua peserta yang cukup berbakat menampilkan kreativiti masing-masing menerusi logo yang dihasilkan.

"Semoga sambutan Jubli Emas UDA ini menjadi landasan kepada orang ramai untuk lebih memahami fungsi dan sejarah pembangunan UDA khususnya dalam membangunkan kawasan bandar," katanya.

Selain Pertandingan Mencipta Logo Ulang Tahun UDA ke-50 sebagai pembuka tirai bagi sambutan Jubli Emas UDA, pelbagai aktiviti serta program akan dijalankan sepanjang tahun.

UDA mengalu-alukan penyertaan orang ramai dalam melakar sejarah bersama UDA sempena sambutan ini.

UDA yang dulunya dikenali sebagai Urban Development Authority atau Perbadanan Pembangunan Bandar ditubuhkan pada 12 November 1971 bagi merancang kemajuan bandar dari aspek komersial dan perumahan.

Kini, UDA beroperasi sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bernaung di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (Ministry of Finance Incorporated) dan dipantau oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 8:55 AM