SUFFIAN berkata pemilihan akan dilakukan jawatankuasa khas yang akan mengumumkan lima logo dan nama sebelum pemilihan dibuat di kalangan peminat skuad Pahang. FOTO ASROL AWANG
SUFFIAN berkata pemilihan akan dilakukan jawatankuasa khas yang akan mengumumkan lima logo dan nama sebelum pemilihan dibuat di kalangan peminat skuad Pahang. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Hanya lima logo dan nama baharu Pahang akan dipilih sebelum undian pemenang utama dilakukan secara dalam talian.

Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata setakat ini, sebanyak 20 logo dan nama baharu Pahang sudah disenarai pendek daripada 600 penyertaan.

Katanya, pemilihan akan dilakukan jawatankuasa khas yang akan mengumumkan lima logo dan nama sebelum pemilihan dibuat dalam kalangan peminat skuad Pahang.

"Namun Pahang mempunyai hak mutlak untuk memilih logo dan nama baharu Pahang yang terbaik berdasarkan kriteria dan syarat yang ditetapkan.

"Tarikh dan tempoh undian dalam talian akan diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Pada 3 Oktober lalu, PBNP menawarkan hadiah wang tunai RM8,000 kepada peminat Pahang yang berjaya memenangi pertandingan berkenaan.

Wang tunai, masing-masing RM4,000 bakal menjadi milik individu yang berjaya mencipta logo dan nama baharu skuad Pahang selain turut menawarkan hadiah penginapan dan barangan sukan.

Pertandingan itu hanya terbuka kepada rakyat Pahang dan tiada bayaran dikenakan kepada peserta dengan tarikh tutup penyertaan pada 10 Oktober lalu.

Mohammed Suffian berkata, PBNP berterima kasih di atas sambutan diberikan yang membuktikan sokongan peminat kepada persatuan dalam memberikan idea.

Baru-baru ini, PBNP mengumumkan Sri Pahang dikatakan dipilih bagi menggantikan nama skuad Pahang selepas diswastakan seperti yang disyaratkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, segelintir peminat skuad Tok Gajah tidak bersetuju dengan nama Sri Pahang dan mahu nama itu ditukar.

Berikutan itu, PBNP menganjurkan pertandingan logo dan nama baharu bagi berkongsi idea.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 6:48 PM