GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Georgetown: Solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di semua masjid dan surau di Pulau Pinang termasuk di kawasan Permatang Janggus, Penaga di sini masih boleh diteruskan dengan pematuhan prosedur operasi standard Covid-19 bagi mengekang penularan pandemik itu.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang memaklumkan kepada pihaknya bahawa setakat ini, tiada keperluan untuk menutup masjid dan surau di negeri itu kerana keadaan masih terkawal.

"Cuma aktiviti keagamaan di kawasan Permatang Janggus, secara khusus, Jabatan Mufti sedang meninjau pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri sama ada akan menutup masjid dan surau di kawasan itu atau sebaliknya, namun pandangan peribadi saya adalah masjid dan surau di situ masih belum sampai ke tahap yang mendesak untuk ditutup pada ketika ini.

"Ia berbeza dengan keperluan menutup sekolah di mana aktiviti murid sukar untuk dikawal berbanding yang masih terkawal dan boleh dikawal," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada Khamis, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad mengarahkan SK Permatang Janggus ditutup sehingga 8 Oktober selepas seorang guru wanita positif Covid-19.

Berikutan itu, semua murid dan guru sekolah tersebut diarah menjalani ujian saringan Covid-19.

Pada Sabtu, media melaporkan terdapat tiga kes baharu direkodkan di Pulau Pinang membabitkan dua kes yang pulang dari Sabah dan satu lagi dari kluster baharu iaitu Bah Rose membabitkan warganegara, termasuk seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun di Permatang Janggus.

Sementara itu, Wan Salim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang berkata, jika keadaan didapati semakin mendesak dengan peningkatan kes Covid-19 di Permatang Janggus atau kawasan lain, maka pihaknya akan membuat keputusan yang sesuai bagi mencegah wabak itu daripada terus merebak.

Beliau berkata, sebarang keputusan perlu seimbang antara kepentingan pembangunan rohani masyarakat dengan keperluan memelihara keselamatan dan kesihatan mereka.

"Secara umumnya, pandemik Covid-19 di negeri ini masih terkawal, cuma saya minta pihak yang hadir solat berjemaah dan menjalankan aktiviti keagamaan di masjid atau surau perlulah mengikut SOP yang sedia ada seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 6:21 PM