Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Semua pejabat dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh Sabah kecuali bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) akan beroperasi seperti biasa.

KPM dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kebenaran khas kepada pihaknya bagi membolehkan semua pegawai, guru dan kakitangan yang tinggal di luar daerah tempat bertugas merentas sempadan daerah untuk hadir bertugas supaya operasi institusi tidak terjejas.

Katanya, bagi tujuan itu, Ketua Jabatan akan mengeluarkan surat arahan hadir bertugas kepada pegawai, guru dan kakitangan yang tinggal di luar daerah tempat bertugas.

"Surat kebenaran khas juga akan dikeluarkan oleh pihak sekolah kepada murid yang tinggal di luar daerah sekolah bagi membolehkan murid merentas sempadan daerah untuk hadir ke sekolah.

"Bagaimanapun, pengoperasian institusi pendidikan di Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna tertakluk kepada PKPDB secara pentadbiran yang bermula pada 29 September hingga 12 Oktober ini membabitkan 209 sekolah kerajaan dan swasta di bawah KPM," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan KPM akan terus komited untuk memastikan semua murid tidak ketinggalan dan dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan dalam keadaan selamat sepanjang tempoh perintah kawalan rentas daerah.

"Sekiranya murid yang tinggal di luar daerah tidak boleh hadir ke sekolah, guru akan menyediakan akses pembelajaran kepada murid melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah atau home-based learning mengikut kesesuaian guru dan murid.

"Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my. KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta berusaha melakukan yang terbaik dalam memastikan kesihatan dan keselamatan warga sekolah terpelihara," katanya.

Pada 1 Oktober lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kawalan rentas daerah di seluruh Sabah akan dilaksanakan berkuat kuasa bermula 3 sehingga 16 Oktober depan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 7:57 PM