Antara pengunjung pusat hiburan yang diperiksa polis dalam serbuan di Johor Bahru semalam. Foto Ihsan PDRM
Antara pengunjung pusat hiburan yang diperiksa polis dalam serbuan di Johor Bahru semalam. Foto Ihsan PDRM
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Polis mengeluarkan kompaun keseluruhan berjumlah RM210,000 terhadap 45 individu, dua penjaga premis dalam serbuan di dua pusat hiburan di Taman Mount Austin Height dan Taman Adda Height di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, menerusi Op Hiburan itu, kesemua mereka itu didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), selain premis terbabit beroperasi tanpa lesen sah.

Menurutnya, sepasukan polis Team Taskforce Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS menjalankan operasi itu pada 9.30 malam.

"Menerusi dua serbuan itu, polis menahan 12 wanita tempatan, 24 lelaki tempatan dan sembilan wanita warga asing dengan kesemuanya berusia antara 20 hingga 55 tahun.

"Dua penjaga premis dikenakan kompaun berjumlah RM25,000, manakala pelanggan premis dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan kompaun adalah RM210,000.

"Turut dirampas, sembilan resit perniagaan, satu perakam video digital, satu cakera padat digital (DVD) dan satu cakera padat (CD)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor.

Katanya, maklumat berhubung perbuatan jenayah boleh menghubungi talian 07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 7:25 PM