KAMPUNG Baru.
KAMPUNG Baru.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) berharap memperolehi peruntukan hampir RM400 juta bagi membolehkan semua infrastruktur di Kampung Baru dinaiktaraf supaya setanding dengan kemudahan awam sekitar kawasan segi tiga emas berdekatan dengannya.

Turut mahu dinaik taraf Tanah Rizab Melayu lain dalam Wilayah Persekutuan adalah di Kampung Sungai Penchala dan Kampung Chubadak yang ketinggalan dalam arus pembangunan di sekelilingnya.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata, peruntukan itu antara lain untuk menaik taraf jalan utama dalam Kampung Baru dan kementerian itu akan menggunakan konsep pembangunan grid seperti peta Manhattan di bandar raya New York.

Beliau berkata, ada lima bahagian yang boleh dibangunkan sekarang dan pembangunan boleh dilakukan di bahagian yang sudah mendapat kebenaran pemilik tanah tanpa perlu menunggu untuk keseluruhan Kampung Baru itu dibangunkan secara serentak.

"Kami sudah membentangkan kes kami kepada Kementerian Kewangan. Kami juga cuba membida sedikit peruntukan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

"Kami mahu menaik taraf infrastruktur asas bukan saja Kampung Baru malah di kawasan Tanah Rizab Melayu di Kuala Lumpur," katanya pada sidang media, di sini, tadi.

Annuar berkata, prinsip asas pembangunan itu, ia bukan pembangunan yang dipaksa terhadap penduduknya sebaliknya mereka digalakkan mengambil peranan dan terbabit dalam proses itu, serta kekal sebagai pemilik.

Katanya, pihaknya bersetuju untuk menjalankan program pemulihan bandaran di Kuala Lumpur serta sudah mengenal pasti beberapa kawasan terutama yang sudah berusia dan usang yang dilihat tidak sesuai lagi untuk dihuni.

Pada masa sama, Annuar berkata, cadangan kerajaan terdahulu membabitkan pengambilan tanah dari lebih 5,300 pemilik dengan harga RM1,000 untuk satu kaki persegi iaitu RM850 tunai dan RM150 saham Syarikat Tujuan Khas (SPV) tidak dapat diteruskan berikutan kekangan kewangan manakala hanya 61 peratus penduduk sahaja bersetuju terhadap tawaran itu.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada menerima permohonan kebenaran merancang untuk pembinaan Istana Johor di atas sebidang tanah milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Bukit Persekutuan.

Justeru, beliau merasakan ia tidak seharusnya menjadi isu.

"Setakat yang saya tahu Sultan Johor memiliki sebidang tanah di Bukit Persekutuan dan permohonan kebenaran merancang sudah dikemukakan kepada Jabatan Perancang Bandar DBKL dan sedang dinilai.

"Saya difahamkan baginda berhasrat bina Istana Johor di tanah milik Tuanku. Surat yang dikatakan tular itu saya belum tengok. Saya rasa ia tidak sepatutnya menjadi isu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 6:04 PM