Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri Yaakob.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Hanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja boleh menentukan sama ada mana-mana kawasan awam itu mempunyai kes positif Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejak kebelakangan ini, banyak penularan berita palsu seperti beberapa pasar raya dan bank dikatakan terbabit dalam kes positif virus itu.

Katanya, penularan berita palsu sedemikian secara tidak langsung menyebabkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

"Hanya KKM yang boleh menentukan kawasan-kawasan awam mempunyai kes positif Covid-19. Begitu juga, penularan beberapa berita palsu mengenai nama individu yang dijangkiti Covid-19.

"KKM tidak pernah menyiarkan nama individu yang positif Covid-19 kerana ianya tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi. Mana-mana pihak yang mengeluarkan nama individu dijangkiti Covid-19, boleh diambil tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-198 dan hari ke-114 PKP Pemulihan (PKPP), hari ini.

Menurutnya, KKM sahaja boleh mengeluarkan surat pengesahan arahan kuarantin 14 hari kepada setiap individu sama ada mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif Covid-19 atau yang mempunyai gejala.

"KKM akan memaklumkan mengenai kuarantin 14 hari melalui surat yang akan dihantar kepada mereka yang berkenaan.

"Orang ramai diingatkan tidak terpengaruh dan tidak menjadi penyebar berita palsu. Sila semak kesahihan berita sebelum sebar. Perlu diingatkan bahawa penyebar ini juga boleh diambil tindakan undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 5:18 PM