GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mukim Endau dan Mukim Triang, Mersing, Johor berikutan penularan kes Kluster Kampung Air Batang di dua lokaliti berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.

Menurutnya, PKP di kedua-dua lokaliti berkenaan akan berkuat kuasa esok sehingga 3 Mei depan.

"Sehingga kini, KKM melakukan 437 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 69 kes positif Covid-19 direkodkan dengan 25 kes masih lagi aktif.

"Manakala 29 lagi sampel ujian masih menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan PKP itu diperlukan kerana masih terdapat kes baru dikesan walaupun melebihi dua tempoh inkubasi iaitu 28 hari.

Selain itu, katanya, ia bagi mengelak penularan kes ke lokati lain.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri mengumumkan PKP Diperketatkan (PKPD) di Kampung Murni C, Nabawan, Sabah ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

"KKM sudah melakukan 548 ujian saringan dan tujuh daripadanya disahkan positif Covid-19.

"KKM juga mengesahkan berlaku penurunan dan kluster adalah terkawal dengan kes terakhir direkodkan pada 13 April lalu iaitu satu kes manakala semua kes positif menerima rawatan serta kontak rapat diasingkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 7:23 PM